Saturday, March 26, 2011

PERMATA YANG HILANG( HAJI MAT SHAFIE LOSONG)

SYAIKH AHMAD AL-ZABIDI AL-YAMANI

PENDAHULUAN

Syaikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani berasal dari daerah Zabid di negeri Yaman Utara. Zabid terletak agak hampir dengan pantai, tidak jauh dari pelabuhan Hodeidah. Daerah Zabid dikenali sebagai Madinatul Ilmi atau Bandar Ilmu. Terdapat sebuah universiti di Zabid buat masa ini yang dinamakan sebagai University of Zabid. Ramai ulama Islam yang datang dari daerah tersebut. Antara yang terkenal ialah pengarang kitab Ithaf Alsadah Almuttaqin (Syarah Ihya Ulumuddin) iaitu Syaikh Muhammad Al-Hussaini Al-Zubaidi - pengarang Kitab Hadith dari Koleksi Al-Bukhari. Mereka yang berasal dari Zabid dikenali dengan gelaran Al-Zabidi atau Al-Zubaidi.

NASAB BELIAU

Nasab beliau dikatakan sampai kepada salah seorang sahabat Rasulullah.Menurut keterangan sejarah, Zabid merupakan tempat asalnya seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Musa al-Asya’ari. Abu Musa telah mendatangi Rasulullah SAW untuk menyatakan syahadah dan pulang semula untuk mengislamkan penduduk Zabid. Kemudian Abu Musa telah menyertai Rasulullah SAW dalam banyak peperangan jihad.


Menurut sejarah lagi antara sahabat Rasulullah yang berasal dari Yaman ialah Huzaifah Al-Yamani sedangkan Muaz bin Jabal pula diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai gabenor Yaman. Orang-orang Yaman dikenali sebagai orang yang berilmu, pejuang Islam dan suka merantau serta berdagang. Manakala Tabiin pula antaranya ialah Imam Malik bin Anas (bapanya dari Yaman) dan Uwais Al-Qarniy yang pernah  Rasulullah berpesan kepada sahabat supaya meminta ia (Uwais) mendoakan mereka jika bertemu beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Ia (Uwais) tidak terkenal di bumi tetapi terkenal di kalangan penghuni langit." Uwais hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w. tetapi tidak sempat bertemu baginda s.a.w. Oleh yang demikian ia (Uwais) dikategorikan sebagai Tabiin. 

PUJIAN RASULULLAH SAW KEPADA AHLI YAMAN

Uqbah bin Amr (Abu Msa`uud) r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Iman itu di sini, sambil menunjuk ke arah negeri Yaman, sedang keras hati dan kekejaman itu ada pada hartawan ternak yang selalu di belakang ekor unta, di tempat keluarnya tanduk syaitan di suku Rabi`ah dan Mudhar." (Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda: "Telah datang kepadamu orang-orang Yaman, mereka itu lebih jinak hatinya dan halus perasaannya. Fiqih itu layak pada orang Yaman dan hikmat itu juga Yamaniyah." (Bukhari & Muslim)


  AL- MARHUM TUAN GURU HAJI MAT SHAFIE LOSONG (1862-1945)



Keturunan Syaikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani


Haji Mat Shafie Losong(Haji Mohd Shafie bin Haji Mohd Amin bin Haji Abdul Rahman(Tok Subuh) bin Syaikh Ahmad Al Zabidi Al Yamani.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, sejumlah besar keturunan Syaikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani bermastautin di Kedah seperti di Tanjung Maseri Alor Setar, Merbok, Kuala Kangkong, Langgar, Sungai Kedak dan Yan. Di Terengganu pula, sejumlah besar mereka menetap di sekitar Losong Haji Mat Shafie (Haji Mat Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) yang berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Kampung Wakaf Nyior Kembar atau Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mat Shafie sehingga sekarang.
Haji Mat Shafie mengajar Kitab Jawi dan Kitab Arab yang merangkumi Feqah, Nahu, Tafsir dan Tasawwuf.
Haji Mat Shafie meninggal dunia pada tahun 1945 dan dimakamkan berhampiran dengan rumahnya.
Haji Mat Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Haji Mat Shafie Losong"

Ketokohan Hj Mat Shafie

Haji Mat Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada  beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.

Beliau selalu berjalan dalam keadaan tunduk bagi menundukkan pandangan dari aurat wanita.  Di sebelah rumah beliau terdapat sebuah pondok kecil tempat beliau bermuqorrobah dengan Allah swt. Beliau adalah pengamal Tariqat Syatariah. Isteri beliau Allahyarhamah Hajjah Su pernah menceritakan di akhir-akhir hayat beliau, Haji Mat Shafie begitu asyik berzikrullah sehingga kadangkala beliau lupa untuk makan, lalu disuap makanan oleh isteri beliau. Begitulah gambaran seorang ulama kekasih Allah. . Sewaktu penaklukan Jepun beliau dilihat menghembus sesuatu ke arah kapal terbang Jepun dan bom tentera Jepun tidak jatuh di sekitar tempat beliau menetap. Semoga roh Al-Marhum Tuan Guru Haji Mat Shafie sentiasa di cucuri rahmat oleh ALLAH S.W.T....Amin.....